SOALAN LAZIM - UMUM


Soalan Lazim SDK


S1. SIAPAKAH YANG BOLEH MENDAFTAR DI DALAM SISTEM DEPOSITORI?
- Perpustakaan Negara menawarkan pendaftaran bagi 3 kategori penerbit baru. Penerbit Individu (warganegara Malaysia, penduduk tetap dan pemegang kad Malaysia My Second Home (MM2H)), penerbit swasta (syarikat berdaftar dengan SSM/pertubuhan/IPTS) dan Agensi Kerajaan/IPTA. Anda boleh mendaftar di bawah salah satu kategori tersebut.

S2. ADAKAH PLATFORM LAIN BAGI MENDAPATKAN NOMBOR ISBN/ISSN DAN PDP?
- Tiada. Semua permohonan ISBN, ISSN dan PDP hanya boleh dibuat melalui Sistem Depositori SAHAJA.

S3. APAKAH MANFAAT SISTEM INI KEPADA PENERBIT?
3.1. Meningkatkan perkhidmatan kepada penerbit khususnya bagi serahan bahan digital secara dalam talian seperti yang disyaratkan di bawah Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331)

3.2. Berupaya menerima dan menyimpan bahan perpustakaan dalam pelbagai format digital yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan kandungan bahan dan hak cipta digital (Digital Right Management).

3.3. Memudahkan dan mempercepatkan proses permohonan ISBN/ISSN/PDP secara dalam talian mengikut tempoh yang ditetapkan.

S4. BOLEHKAH SAYA MEMBUAT PERUBAHAN TERHADAP BORANG PERMOHONAN YANG TELAH DI HANTAR?
- Sistem Depositori menyediakan pengurusan penyuntingan borang, namun jika borang telah diserah, penerbit tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pindaan. Namun, penerbit boleh menghubungi Perpustakaan Negara Malaysia sekiranya terdapat sebarang masalah dan pindaan yang perlu dilakukan segera.

S5. BOLEHKAH SAYA MENDAFTAR DI DALAM SISTEM SEKIRANYA SAYA TIDAK MEMPUNYAI SYARIKAT BERDAFTAR?
- Sekiranya anda tidak mempunyai syarikat berdaftar, anda boleh mendaftar sebagai penerbit individu dengan menggunakan MyKad/MyPR/MM2H.

S6. ADAKAH SEBARANG BAYARAN YANG DIKENAKAN?
- Tiada sebarang bayaran yang akan dikenakan di dalam Sistem Depositori dan ianya PERCUMA.

S7. BAGAIMANA CARA UNTUK MENYEMAK STATUS PERMOHONAN?
- Penerbit boleh menyemak status permohonan di dashboard penerbit melalui pautan Status Permohonan.

S8. APAKAH SYARAT UNTUK MENDAFTAR DAN MENGGUNAKAN SISTEM DEPOSITORI?
- Bagi penerbit individu, salinan MyKad/MyPR/MM2H yang sah dan telah dipalang. Bagi penerbit kerajaan perlu melampirkan surat rasi jabatan dan penerbit swasta, perlu dilampirkan dokumen-dokumen pendaftaran syarikat (SSM).

S9. APAKAH MODUL YANG TERDAPAT DALAM SISTEM DEPOSITORI?
ISBNInternational Standard Book Number layak diberikan kepada semua judul buku yang diterbitkan dalam bentuk fizikal (hardcopy) dengan memenuhi kriteri yang telah ditetapkan oleh Agensi Antarabangsa.
ISSNInternational Standard Serial Number layak diberikan kepada terbitan bersiri yang baru diterbitkan dalam bentuk fizikal (hardcopy) dan terbitan bersiri yang telah diterbitkan sebelum ini tanpa ISSN.
PDPPengkatalogan-dalam-Penerbitan adalah data katalog yang disediakan secara percuma oleh Perpustakaan Negara Malaysia kepada penerbit-penerbit di Malaysia sebelum terbitan diterbitkan. Antara faedah-faedah PDP ialah nilai tambah kepada penerbitan buku dan penjanaan statistik tajuk perkara (subjek) buku-buku terbitan di Malaysia.


S10. SIAPAKAH SASARAN PENGGUNA BAGI SISTEM DEPOSITORI?
- Penerbit Buku Malaysia atau penerbit-penerbit buku yang berpusat di Malaysia.

S11. SIAPAKAH PENGGUNA BERDAFTAR?
- Penerbit yang telah berdaftar dengan Perpustakaan Negara Malaysia melalui Program Pendaftar Baru.

S12. BERAPA LAMA TEMPOH MASA BAGI PENGESAHAN PENDAFTARAN?
- Satu (1) hari bekerja dari tarikh permohonan.

S13. BAGAIMANA UNTUK MENGGUNAKAN SISTEM DEPOSITORI?
13.1. Untuk penggunaan Sistem Depositori buat kali pertama bagi Penerbit baru dan sedia ada perlu membuat Pendaftaran Akaun Penerbit Sistem Depositori terlebih dahulu.

13.2. Semak e-mel yang telah didaftarkan untuk pengaktifan akaun sebelum memasuki Sistem Depositori

13.3 Setelah berjaya memasuki Sistem Depositori, Penerbit baru ataupun sedia ada perlu melengkapkan butir-butir pertanyaan sebelum membuat permohonan ISBN/ISSN/PDP.

13.4. Bagi Penerbit baru, kelulusan permohonan mengambil masa satu (1) dari tarikh permohonan. Sementara penerbit sedia ada boleh terus membuat permohonan ISBN/ISSN/PDP.

13.5. Semakan status kelulusan boleh diperolehi dengan memasuki semula Sistem Depositori berdasarkan tempoh yang telah ditetapkan.

S14. BERAPA TEMPOH MASA PEMPROSESAN UNTUK MENDAPATKAN ISBN/ISSN/PDP?
ISBNSatu (1) hari bekerja dari tarikh permohonan.
ISSNSatu (1) hari berkerja dari tarikh permohonan.
PDPTiga (3) hari berkerja bagi setiap judul bahan dari tarikh permohonan.


S15. BOLEHKAN PERMOHONAN DIBATALKAN?
- Permohonan boleh dibatalkan sekiranya penerbit memberikan alasan yang munasabah dan sebab-sebab pembatalan. Penerbit boleh menghubungi Perpustakaan Negara Malaysia bagi urusan pembatalan dan pertanyaan lanjut.

S16. APA ITU eISBN DAN eISSN?
eISBNnternational Standard Book Number atau dikenali sebagai ISBN adalah satu nombor piawaian antarabangsa yang unik bagi pengenalan kepada sesebuah buku yang diterbitkan oleh penerbit tertentu. ISBN diperoleh daripada Agensi ISBN Antarabangsa yang berpusat di London. Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISBN di Malaysia mulai Ogos 1982. eISBN layak diberikan kepada semua judul buku yang diterbitkan dalam bentuk digital (e-book dan website online) dengan memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Agensi Antarabangsa.
eISSNInternational Standard Serial Number (ISSN) atau lebih dikenali sebagai ISSN adalah Nombor Bersiri Piawai Antarabangsa yang unik bagi pengenalan sesebuah penerbitan berkala. ISSN diperoleh daripada Agensi ISSN Antarabangsa yang berpusat di Paris, Perancis. Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISSN mulai Jun 1976. eISSN layak diberikan kepada terbitan bersiri yang baru diterbitkan dalam bentuk digital (e-book dan website online) dan terbitan bersiri yang telah diterbitkan sebelum ini tanpa ISSN.


S17 - Bilakah permohonan ISBN/ISSN/PDP boleh dilakukan?
Tempoh perkhidmatan permohonan bermula dari jam 8.00 pagi sehingga 3.30 petang (Hari Bekerja). Permohonan selepas 3.30 petang akan dikira sebagai permohonan hari berikutnya.