INTERNATIONAL STANDARD SERIAL NUMBER (ISSN)

Apakah Itu ISSN/eISSN?

International Standard Serial Number (ISSN) atau lebih dikenali sebagai ISSN adalah Nombor Bersiri Piawai Antarabangsa yang unik bagi pengenalan sesebuah penerbitan berkala. ISSN diberikan kepada bahan berbentuk fizikal (bercetak) manakala eISSN diberikan kepada bahan berbentuk digital dan bahan sumber elektronik (CD, DVD atau pendrive).

ISSN diperoleh daripada Agensi ISSN Antarabangsa yang berpusat di Paris, Perancis. Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISSN mulai Jun 1976.


Bagaimana dan di mana ISSN dicetak?

ISSN mengandungi dua (2) kumpulan empat (4) angka yang dipisahkan dengan tanda sengkang dan didahului dengan akronim ISSN (huruf besar).

Contoh : ISSN 1394-3650

ISSN hendaklah dicetak di tempat yang mudah kelihatan, digalakkan di sudut atas sebelah kanan kulit depan setiap isu terbitan bersiri yang dikeluarkan.


Adakah permohonan ISSN/eISSN dikenakan sebarang kos?

Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan perkhidmatan pemberian nombor ISSN/eISSN secara percuma kepada penerbit Malaysia yang berdaftar di bawah Program ISBN. Penerbit tidak dibenarkan menjual mana-mana nombor ISSN/eISSN yang telah diperuntukkan kepada mereka.


Apakah Terbitan Bersiri?

Penerbitan yang diterbitkan dalam format bercetak/dalam talian yang dikeluarkan secara berkala, mempunyai kekerapan serta judul yang konsisten serta bertujuan untuk diteruskan penerbitannya sehingga sesuatu masa seperti majalah, jurnal, dan lain-lain.


Bagaimana pemberian ISSN dilakukan?

  • ISSN diberikan kepada terbitan bersiri yang baru diterbitkan dan terbitan bersiri yang telah diterbitkan sebelum ini tanpa ISSN.
  • ISSN hanya diperuntukkan bagi satu judul dan ia adalah khas untuk judul itu sahaja. Sekiranya judul itu bertukar atau ditambah, satu ISSN baru akan diberi bagi judul yang baru.
  • Apabila terbitan bersiri diterbitkan di dalam pelbagai bahasa dengan judul yang sama, setiap edisi akan diberi ISSN berbeza.
  • Juga, penerbitan yang sama tetapi diterbitkan di dalam pelbagai bahasa yang mana judulnya menggunakan judul pelbagai bahasa akan diberikan nombor ISSN yang berbeza.

Adakah ISSN diberikan kepada buku prosiding/seminar?

ISSN akan mula diberikan kepada prosiding / seminar yang diterbitkan pada kali kelima. Bagi penerbitan kali pertama sehingga keempat, penerbit perlu terlebih dahulu memohon no ISBN.


Adakah semua penerbitan perlu mendapatkan Permit KDN sebelum memohon ISSN/eISSN?

Permit KDN hanya diperlukan bagi permohonan ISSN oleh penerbit dari syarikat swasta (penerbit komersil, syarikat perniagaan, dan lain-lain) sahaja manakala permohonan eISSN tidak memerlukan Permit KDN.


Bolehkah penerbit individu/orang perseorangan memohon ISSN/eISSN?

Tidak boleh. Permohonan ISSN/eISSN hanya boleh dimohon oleh penerbit dari syarikat swasta (penerbit komersil, syarikat perniagaan, dan lain-lain) dan organisasi bukan komersil seperti Jabatan Kerajaan dan agensi, Institusi pendidikan (sekolah, kolej, universiti) di Malaysia atau Pertubuhan yang berdaftar, persatuan agama, persatuan clan, kelab dan lain-lain di Malaysia.


Adakah ISSN/eISSN menjamin hakcipta?

Penggunaan nombor ISSN/eISSN tidak menjamin hakcipta sesuatu bahan. Penggunaan nombor antarabangsa tersebut adalah sebagai identiti unik sesebuah penerbitan dan membezakan penerbitan yang mungkin sama atau mempunyai judul yang serupa. Hakcipta pula adalah bagi melindungi penulisan, drama, musik, dan hasil seni. Maklumat lanjut berkaitan hakcipta boleh didapati di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) https://www.myipo.gov.my/.


Bolehkah nombor ISSN/eISSN yang telah diberi dibatalkan?

Nombor ISSN/eISSN yang telah diperuntukkan bagi sesuatu bahan boleh dibatalkan dengan syarat buku tersebut belum dicetak atau diterbitkan lagi. Penerbit perlu membuat permohonan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi bagi tujuan tersebut kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara.


Adakah penerbit boleh menangguhkan penerbitan?

Penerbit dibenarkan untuk membuat penangguhan penerbitan. Penerbit perlu memaklumkan penangguhan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Sekiranya penerbit membuat permohonan melalui Sistem Depositori, penerbit dibenarkan untuk mengemaskini tarikh jangka terbit sebanyak 3 kali sahaja.


Adakah Pusat Kebangsaan ISSN/eISSN membekalkan kod jalur ISSN/eISSN?

Ya, pihak kami akan membekalkan kod jalur kepada penerbit.


Saya sudah tidak lagi menerbitkan buku dan ingin menutup akaun. Apakah yang perlu dilakukan?

Penerbit perlu memaklumkan perkara tersebut secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP.