International Standard Book Number (ISBN)


Apakah Itu ISBN?

International Standard Book Number atau dikenali sebagai ISBN adalah satu nombor piawaian antarabangsa yang unik bagi pengenalan kepada sesebuah buku yang diterbitkan oleh penerbit tertentu.

ISBN diperoleh daripada Agensi ISBN Antarabangsa yang berpusat di London. Perpustakaan Negara Malaysia telah dilantik sebagai Pusat Kebangsaan ISBN di Malaysia mulai Ogos 1982.


Siapa yang layak untuk memohon ISBN Malaysia?

Penerbit Malaysia atau penerbit yang berpusat di Malaysia, menerbitkan buku melebihi 30 muka surat bagi buku dewasa dan 16 muka surat bagi buku kanak-kanak layak dipertimbangkan untuk memohon nombor ISBN Malaysia. Penerbit yang layak dipertimbangkan adalah seperti berikut:-

  • Penerbit Individu (orang perseorangan). Terhad kepada warganegara Malaysia, pemastautin tetap dan pemegang kad Malaysia My 2nd Home (MM2H) sahaja.
  • Syarikat (penerbit komersil, syarikat perniagaan, dan lain-lain) yang berdaftar di Malaysia .
  • Organisasi bukan komersil seperti:
  • Jabatan Kerajaan dan agensi
  • Institusi pendidikan e.g. sekolah, kolej, universiti di Malaysia
  • Pertubuhan yang berdaftar, persatuan agama, persatuan clan, kelab dan lain-lain di Malaysia.
  • Pengedar, penjual buku dan pencetak tidak layak berdaftar sebagai penerbit (kecuali mereka juga adalah merupakan penerbit).

Jika ingin menerbitkan buku di Negara lain penerbit boleh memohon nombor ISBN dari agensi ISBN Negara tersebut. Senarai agensi ISBN boleh diperolehi di:- https://www.isbn-international.org/agencies.


Apakah bahan yang layak memohon ISBN?

Semua judul buku adalah layak dipertimbangkan untuk diberi ISBN selagi ianya memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Agensi ISBN Antarabangsa. ISBN perlu dimohon sebelum sesuatu bahan diterbitkan.


Bagaimana pemberian ISBN dilakukan?

ISBN berasingan perlu diberi kepada:

  • Setiap judul yang diterbitkan, tetapi TIDAK bagi cetakan semula buku yang sama
  • Setiap Edisi Baru bagi judul yang telah atau pernah diterbitkan, misalnya edisi ke-2, edisi semakan, dan lain-lain.
  • Cetakan semula buku yang dikeluarkan oleh penerbit yang berlainan.
  • Buku-buku dalam berlainan format, misalnya edisi kulit keras dan edisi kulit nipis atau bercetak dan e-book.
  • Karya berbilang jilid (set), iaitu satu ISBN diberi kepada setiap jilid dan satu lagi ISBN diberi kepada seluruh set berkenaan sekiranya diperlukan.
  • Cetakan semula judul-judul yang pernah diterbitkan tanpa ISBN.
  • Penerbitan bersama. Satu ISBN diberikan kepada penerbit yang bertanggungjawab atas pengedaran.
  • Buku-buku yang diimport dari negara atau kawasan yang belum menyertai program ISBN.
  • Penerbitan helai cerai.
  • Bahan audio-visual pendidikan dan terbitan monograf dalam format tidak bercetak. Contoh: Bahan audio-visual untuk terbitan sekolah-sekolah atau institusi pengajian tinggi (CD-Rom, video, kaset dan lain-lain).

Apakah nombor Blok ISBN?

Blok ISBN diberikan kepada penerbit yang telah berdaftar. Ianya terdiri dari set 10, 100, 1000 dan 10,000 nombor ISBN.


Dimanakah saya boleh merujuk nombor Identiti Penerbit terkini jika kehilangan atau terlupa?

Penerbit boleh merujuk nombor Identiti Penerbit (ID Penerbit) terkini dengan Pusat Kebangsaan ISBN. Nombor Identiti Penerbit tersebut adalah untuk kegunaan penerbit yang berdaftar dengan Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN sahaja dan tidak boleh didedahkan kepada pihak ketiga.


Dimanakah saya boleh mendapatkan maklumat lanjut ISBN?

Maklumat lanjut berkaitan ISBN boleh didapati di laman web International ISBN Agency.

https://www.isbn-international.org.


Sebagai penerbit baru, apakah lagi perkhidmatan lain yang disediakan oleh PNM selain pemberian nombor ISBN bagi buku yang bakal diterbitkan.

PNM turut menyediakan perkhidmatan penyediaan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan (PDP). Penerbit digalakkan untuk memohon data PDP sebagai nilai tambah kepada penerbitan buku yang berkualiti.


Adakah permohonan ISBN/ISSN/PDP dikenakan sebarang kos?

Perpustakaan Negara Malaysia menyediakan perkhidmatan pemberian nombor ISBN/ISSN dan data PDP secara percuma kepada penerbit Malaysia yang berdaftar di bawah Program ISBN. Penerbit tidak dibenarkan menjual mana-mana nombor ISBN/ISSN yang telah diperuntukkan kepada mereka.


Adakah ISBN/ISSN menjamin hakcipta?

Penggunaan nombor ISBN/ISSN tidak menjamin hakcipta sesuatu bahan. Penggunaan nombor antarabangsa tersebut adalah sebagai identiti unik sesebuah penerbitan dan membezakan penerbitan yang mungkin sama atau mempunyai judul yang serupa.
Hakcipta pula adalah bagi melindungi penulisan,drama, musik, dan hasil seni. Maklumat lanjut berkaitan hakcipta boleh didapati di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) http://www.myipo.gov.my


Bolehkah nombor ISBN/ISSN dan data PDP yang telah diberi dibatalkan?

Nombor ISBN/ISSN dan data PDP yang telah diperuntukkan bagi sesuatu bahan boleh dibatalkan dengan syarat buku tersebut belum dicetak lagi. Penerbit perlu membuat permohonan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi bagi tujuan tersebut kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara.


Adakah penerbit boleh menangguhkan penerbitan?

Penerbit dibenarkan untuk membuat penangguhan penerbitan. Penerbit perlu memaklumkan penangguhan secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP dan salinan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Tempoh maksima pelanjutan penerbitan tersebut adalah selama 3 bulan.


Adakah Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN membekalkan kod jalur ISBN/ISSN?

Ya, pihak kami akan membekalkan kod jalur kepada penerbit.


Saya sudah tidak lagi menerbitkan buku dan ingin menutup akaun. Apakah yang perlu dilakukan?

Penerbit perlu memaklumkan perkara tersebut secara bertulis samada melalui surat atau email rasmi kepada Pusat Kebangsaan ISBN/ISSN/PDP.