SERAHAN BAHAN DIGITAL

Apakah itu Bahan Digital?

Bahan digital adalah termasuk di dalam Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331). Ia terkandung di dalam klausa definisi “Bahan Perpustakaan” ertinya apa-apa bentuk cetakan, grafik, audio, elektronik atau media lain, di atas atau di mana maklumat ditulis, direkod, disimpan, dipamer atau dikeluar dan dikategorikan bagi maksud Akta ini di dalam –

  1. Bahan perpustakaan yang bercetak termasuk buku, terbitan bersiri, peta, carta dan poster;
  2. Bahan perpustakaan yang tidak bercetak termasuk filem sinematograf, mikroform, piring hitam, rakam video dan audio dan media elektronik yang lain;

Dalam klausa definisi di atas, Bahan Digital dikategorikan sebagai bahan perpustakaan yang tidak bercetak dan diterbitkan dalam media elektronik yang lain.

Semua bahan penerbitan digital yang diterbitkan di Malaysia, sama ada yang mempunyai atau tidak mempunyai eISBN/eISSN dan diedarkan kepada orang awam secara percuma atau dijual perlu diserah kepada PNM. Ini termasuk :

  • Buku elektronik (e-buku),
  • terbitan bersiri elektronik seperti e-laporan tahunan, e-prosiding, e-direktori, e-jurnal, e-buletin, e-buku tahunan, e-majalah, e-buku panduan, e-laporan kajian penyelidikan,
  • video dan rakaman bunyi yang diterbitkan dalam bentuk digital.


Apakah Manfaat Penyerahan Bahan Digital?

Perpustakaan Negara Malaysia sedang merangka satu kaedah dan prosedur bagi memastikan akses kepada bahan-bahan digital diuruskan secara komprehensif, bagi memastikan kandungan digital dapat dipelihara dan dimanfaatkan oleh generasi masa kini dan masa depan memandangkan kepantasan perubahan teknologi semasa.


Bilakah saya perlu menyerahkan Bahan Digital baharu saya?

Bahan digital monograf/buku perlu diserahkan dalam masa sebulan dari tarikh penerbitan. Manakala bahan digital terbitan bersiri pula perlu diserahkan dalam masa satu (1) minggu dari tarikh penerbitannya.


Berapakah bilangan unit Bahan Digital yang perlu diserahkan?

Setiap bahan digital perlu diserahkan sebanyak satu (1) unit bagi setiap judul bahan melalui Sistem Depositori PNM. Sekiranya bahan tersebut tidak diserahkan dalam tempoh yang ditetapkan, surat peringatan akan dikeluarkan sebanyak tiga kali. Selepas itu, permohonan ISBN baharu akan disekat sehinggalah bahan tersebut diserahkan.


Apakah format Serahan Bahan Digital?

Bagi penerbitan berbentuk digital (born digital) bahan perlu diserahkan dalam bentuk format asal penerbitan. Walau bagaimanapun, di atas faktor-faktor tertentu, format pilihan PNM adalah seperti berikut :

Materials Preferred Format
Text-based content PDF, PDF/A, EPUB, MOBI
Images JPEG, PNG, TIFF, MOBI
Audio Recordings WAV,MP3, FLAC
Video Recordings MP4
Maps PDF, GEOPDF, TIFF, GEOTIFF

Bahan digital yang diserah di Bawah Akta 331 bahan perlu bebas dari Digital Right Management (DRM), dan tiada sebarang syarat-syarat teknikal yang menghalang daripada akses kepada kandungan bahan.


Bagaimana Bahan Digital boleh diakses oleh pengguna?

Pengguna boleh membuat semakan judul bahan digital melalui OPAC PNM. Walau bagaimanapun, akses kepada bahan digital hanya terhad kepada satu pengguna pada satu-satu masa. Bahan adalah dalam format read-only bagi mengelakkan tindakan muat turun, menyimpan/menyalin dan mencetak.

Kebenaran akses kepada kandungan bahan adalah berdasarkan terma dan syarat dari penerbit iaitu pemilik hak cipta sama ada paparan penuh, paparan sebahagian, pinjaman kepada pengguna mengikut tempoh masa tertentu samada boleh diakses di premis PNM sahaja atau di luar premis.


Bagaimanakah Hak Cipta Bahan Digital yang diserahkan?

Semua bahan digital yang diserah di Bawah Akta 331 akan dipelihara di PNM bagi tujuan rujukan dan penyelidikan sahaja dan bukan tujuan komersil. Tahap akses kepada bahan digital adalah bergantung kepada kebenaran dari penerbit.