AKTA PENYERAHAN BAHAN PERPUSTAKAAN 1986
(AKTA 331)

Akta ini mewajibkan penerbit menyerahkan bahan yang diterbitkan dalam negara kepada Perpustakaan Negara Malaysia melalui Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Bahan–bahan yang diterima dijadikan sebagai Koleksi Negara yang mencerminkan warisan intelek masyarakat Malaysia dalam pelbagai bidang. Konsep penyerahan secara undang-undang telah diamalkan sejak dahulu lagi melalui Straits Settlements Book Ordinance 1886, FMS Book Enactment (F.M.S. Cap 90) 1916, Preservation of Books Ordinance 1950 dan Akta Pemeliharaan Buku 1966.


Latar Belakang

Guidelines for Legal Deposit Legislation yang telah diterbitkan oleh UNESCO telah menggariskan antara fungsi utama Perpustakaan Negara adalah untuk memastikan maklumat dapat dikumpul dan diakses oleh masyarakat dan menjadi asas dalam membangunkan masyarakat bermaklumat melalui Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan.

Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menerusi Ketua Pengarah yang dilantik di bawah Akta Perpustakaan Negara Malaysia 1972, mempunyai kuasa dan tanggungjawab terhadap Akta Penyerahan Bahan Perpustakaan 1986 (Akta 331) yang menggantikan Akta terdahulu iaitu Akta Pemeliharaan Buku 1966 dalam melaksanakan pengesanan bahan terbitan di Malaysia.


Objektif

Akta ini berkuatkuasa sejak 15 April 1987 adalah bertujuan untuk:

  1. Menyediakan bagi pemuliharaan dan penggunaan bahan perpustakaan yang diterbitkan di Malaysia;
  2. Mewujudkan rekod bibliografi yang standard bagi bahan yang diterbitkan di Malaysia;dan
  3. Menyelenggara rekod-rekod statistik bahan perpustakaan yang diterbitkan di Malaysia


Definisi Bahan Perpustakaan

Akta 331 mendifinisikan “Bahan perpustakaan”  sebagai apa-apa bentuk cetakan, grafik, audio, elektronik atau media lain, di atas atau di mana maklumat ditulis, direkod, disimpan, dipamer atau dikeluark dan dikategorikan bagi maksud Akta ini ke dalam:

  1. bahan perpustakaan yang bercetak termasuk buku, terbitan bersiri, peta, carta dan poster
  2. bahan perpustakaan yang tidak bercetak termasuk filem sinematograf, mikroform, piring hitam, rakaman video dan audio dan media elektronik yang lain.


Tanggungjawab Penerbit

Penerbit disyaratkan untuk menyerahkan semua bahan perpustakaan yang diterbitkan di negara ini kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara. Seksyen 4(1) memperuntukkan supaya lima (5) naskhah bahan bercetak diserahkan dalam masa satu (1) bulan dari penerbitannya untuk buku dan satu (1) minggu bagi terbitan bersiri, sementara Seksyen 4(2) memperuntukkan supaya dua (2) naskhah bahan tidak bercetak diserahkan dalam masa satu (1) tahun dari penerbitannya.


Denda

Tertakluk kepada Seksyen 4(3), penerbit yang gagal menyerahkan bahan perpustakaan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Ribu sahaja).


Pendaftaran Bahan

Bahan perpustakaan yang diserahkan kepada Pusat Penyerahan Terbitan Negara didaftarkan dan butiran mengenai bahan disenaraikan dalam Bibliografi Negara Malaysia yang diterbitkan dalam talian oleh Perpustakaan Negara Malaysia. Perangkaan mengenai bilangan judul yang didaftarkan mengikut pembahagian perkara, tahap pembacaan dan bahasa disediakan bagi keperluan penyelidikan.


Tempat Simpanan

Bahan perpustakaan yang diterima di bawah Akta ini disimpan di lokasi berikut:

  1. Satu (1) naskhah disimpan sebagai Koleksi Negara.
  2. Dua (2) naskhah untuk Perkhidmatan Maklumat Malaysiana.
  3. Dua (2) naskhah disimpan di dua (2) pusat penyimpanan luar sebagai langkah keselamatan sekiranya berlaku bencana.